-The Chosen Path-

"of many roads that lay upon you,choose! For the choice is in your hands.....

Lelaki Dari Mesir...



Seorang penduduk dari Mesir bertanya kepada Ibn Umar r.a. tentang khalifah Usman bin Affan r.a.
Penduduk Mesir pada waktu itu kebanyakannya sangat membenci khalifah dan merancang unutk memberontak terhadap kerajaan pimpinan Khalifah Usman.
Lelaki Mesir itu berkata,
" Benarkah Usman melarikan diri ketika perang Uhud? "
Ibn Umar menjawab,
" Ya "
Dia bertanya,
" Benarkah ia juga tidak hadir ketika perang Badar?"
Ibn Umar menjawab,
"Ya"
Dia bertanya lagi,
" Benarkah Usman juga tidak hadir pada peristiwa Bai'atul-Ridwan? "
Sekali lagi Ibn Umar menjawab,
" Ya "
Lelaki Mesir itu segera bangkit sambil berseru, " Allahuakbar "
Dia menyangka bahawa persepsi buruk dan kebenciannya kepada Saidina Usman selama ini berasas dan yakin bahawa Khalifah Usman adalah seorang yang sangat buruk dari berita yang disahihkan oleh Ibn Umar itu.
Menyedari kesalahfahaman ini, Ibnu Umar segera berkata,


" Ke sinilah kamu agar aku jelaskan (perkara sebenar). Adapun larinya Usman pada perang Uhud, maka aku bersaksi bahawa Allah telah memaafkannya sebagaimana firman Allah dalam surah Ali 'Imran ayat 155.
Adapun ketidakhadirannya dalam perang Badar itu kerana isterinya, Ruqayya bt Rasulullah s.a.w. sedang sakit. Rasulullah s.a.w. memerintahkan Usman merawat isterinya dan bersabda yang bermaksud,
" Kamu akan mendapat pahala dan ghanimah perang seperti orang menghadiri Badar."
Adapun Ketidakhadirannya pada Bai'atul-Ridwan itu kerana Rasulullah telah mengutusnya ke Makkah. Andai ada orang lain yang lebih terhormat di kota Makkah daripada Usman, nescaya Baginda akan mengutus orang itu. Baiah (sumpah setia) itu berlaku setelah kepergian Usman. Rasulullah bersabda,
" Ini tangan Usman," lalu Baginda menepuk tangan Usman ke tangannya sebagai tanda baiah Usman."
Persepsi mengenai Khalifah Usman bin Affan kemudiannya berputar 180 darjah apabila kisah mengenai beliau dijelaskan dengan sempurna, bukan terpecah-pecah. Bahkan ternyata beliau tokoh yang sangat mulia di sisi Rasulullah s.a.w. tidak seperti sangkaan lelaki itu sebentar tadi. Ibn Umar lalu berkata.
"Sekarang, pergilah kamu sambil membawa maklumat ini,"


Akibat melihat sesuatu masalah menerusi satu sudut yang tidak sempurna, akhirnya kesimpulan yang dibuat pun tidak sempurna. Tergesa-gesa menyimpulkan akan melahirkan kesimpulan yang tergesa-gesa jua.
Sahih al-Bukhari (no. 3698)
[dipetik dari majalh SOLUSI]


Oleh itu, sahabat-sahabat, jangan terlalu cepat bersangka buruk kepada seseorang tanpa mengetahui perkara yang sebenar dan jelas. Kerana itu Rasulullah mengajar kita untuk sentiasa bersangka baik dengan sesiapa sahaja supaya tidak timbul salah faham antara manusia itu sendiri.