-The Chosen Path-

"of many roads that lay upon you,choose! For the choice is in your hands.....

Maafkan Agar Dimaafkan (2)

Aku bertemunya sekali lagi setelah sekian lama terpisah. Perpisahan yang disebabkan perselisihan. Secara "basa-basi" memang kami telah saling bermaafan. Tetapi dia dan aku tahu, mendung antara hati kami masih belum reda. Kini setelah hampir 5 tahun, suasana sudah berubah. Yang di bawah ke atas, yang di atas meluncur ke bawah.
"Maaf, bang..."
Aku tergamam. Aku renung matanya. Agak layu dan keletihan.
"Oh, tak apa-apa. Kita jumpa lagi nanti," kataku sambil memberikan kad nama. Dia juga memberikan kadnya. Dan kami terus berpisah. Sepanjang perjalanan pulang, hatiku resah. Jelas aku masih sukar melupakan. Atau aku masih belum memaafkan?

Perlahan aku mainkan semula sebuah kaset daripada siri kaset-kaset "pengubat jiwa" koleksi peribadi yang ada di dalam kereta.
"Orang yang tidak memaafkan, akan sentiasa 'diikat' oleh orang yang tidak dimaafkannya. Maafkan, nescaya kau akan terlepas. Kau akan bebas daripada terus mengingatkan kesedihan, kekecewaan dan kemarahan yang dikenakannya ke astasmu. itu sakit. Maafkan, engkau akan sihat, engkau akan bebas!"
Aku diam. Akur. Rupanya aku masih dibelenggu oleh rasa sakit itu.
"mengapa terlalu sukar memaafkan? Ya, engkau ego. Rasa besar diri. Apa punca ego? Engkau tidak rasa kebesaran Allah. Orang yang merasakan kebesaran Allah, akan merasa kekerdilan dirinya."
Sekali lagi suara dalam kaset itu menusuk hati ku. Aku ego? Ya, jawab suara hati.

"Allah lagikan pengampun. Dosa demi dosa hamba-Nya, diampun segalanya. Bukan sekadar mengampunkan, malah Allah menyayangi pendosa yang bertaubat daripada dosanya."
"Kenapakah kau rasa "besar"? Kaukah yang berikan dia rezeki? Kaukah yang berikan dia hidayah? Kaukah yang sembuhkan dia daripada sakit demamnya? Insaflah, Allah yang berikan dia semuanya. Jika Allah yang begitu besar jasa kepadanya pun memaafkan, adakah kau layak untuk tidak memaafkan?" Sekali lagi aku terhenyak. Oh, egonya aku.
Aku belokkan kereta ke arah lain. Tidak jadi pulang ke rumah. sengaja memanjangkan masa untuk lebih mendengar suara kaset dan suara hati sendiri.

**************************

"Kau tau tak, aku tak suka orang yang mungkir janji. Kau selalu mungkir janji. Aku tunggu, kau lewat. Kau janji nak bayar, kau culas. Kau kata nak buat, kau tangguh. Kau janji macam-macam, tapi apa pun tak ada. Kau buat macam-macam, berulang-ulang kali ... Kali ini aku terlalu susah, kau buatkan aku begini. Sampai hati kau."
"Eh, siapa suruh kau percaya! Siapa suruh kau tunggu. Biasalah, kau takkan tak tahu perangai aku."
"Kalau macam ni susahlah aku."
"Dah tahu susah, jangan kawan dengan aku!"
Masih terngiang-nguang dialog antara kami ketika itu. Walaupun dua hari kemudian dia menelefonku meminta maaf, dan aku memaafkannya tetapi sejak itu kami "putus".

**************************

"Cuba bayangkan, kasih sayang Allah. Kalau seorang itu berdosa, kemudian bertaubat, kemudian berdosa lagi, bertaubat lagi, namun Allah masih terus dan sudi mengampunkannya setiap kali dia bertaubat. Sebab itu kata Imam Al-Ghazali, seorang hamba yang bertaubat tetapi kembali berdosa, jangan sekali-kali putus asa untuk tidak bertaubat lagi. Mana tahu Izrail mencabut nyawanya ketika dia sedang bertaubat atau sedang dalam perjalanan menuju satu taubat!"
Aku terdiam. Alasanku tidak memaafkannya ialah dia buat begitu berulang-ulang kali. Ya, sukarnya memaafkan, tapi Allah? Sekali lagi, suara hati menusuk, siapa besar?

Reputasiku hampir pupus dibuatnya. Malah, aku hampir hilang pekerjaan. Terlalu besarkah dosanya kepadaku?
"Sekalipun si hamba datang dengan dosa sepenuh langit dan bumi, sebanyak pepasir di pantai, seluas air di lautan, Allah akan mengampunkannya. Sebesar-besar dosa manusia, besar lagi pengampunan Allah. Malah, keampunan-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya."
Aduh, kecilnya kesalahan manusia sesama manusia, berbanding dosa manusia dengan yang Esa. Apakah alasan kita untuk tidak memaafkan? Sedangkan Allah sudi memaafkan walau sebesar mana pun dosa kita, insan yang hina ini kepada-Nya, zat yang Maha Mulia.
"Maafkan dosa sesama kita, agar mudah kira bicara kita di mahkamah keadilan-Nya. Allah Penyayang, suka kepada orang yang penyayang. Allah Maha Pemaaf, dan suka kepada orang yang suka memaafkan. Maafkanlah agar dimaafkan."

Tanpa lengah aku mencapai telefon bimbit. Kad namanya ku keluarkan.
"Helo, Assalamualaikum. Ya, ya, aku ni. Kita jumpa boleh? Tempat? Kau tentukan. Ok lah, setengah jam lagi aku sampai," kata saya. Tanpa sedari kaki saya menekan pedal minyak. Ingin segera kerana ingin memaafkan. Agar segera diampunkan. Ya, Tuhan... egonya aku selama ini. Menyimpan sifat "ketuhanan" dalam diri yang begitu hina dan kekurangan.

"Maafkan, nescaya kau akan terlepas. Kau akan bebas daripada terus mengingatkan kesedihan, kekecewaan dan kemarahan yang dikenakannya ke astasmu. itu sakit. Maafkan, engkau akan sihat, engkau akan bebas!"

5 comments:

*credit to Ustz Pahrol Mohd Juoi. Petik dari 'buku Nota Hati Seorang Lelaki'

January 15, 2010 at 4:43 PM  
Ammar Raji said...

salam sheikh, nta kt syria skang? amik pe kat ctu? nta sorg je ke?
btw, siiru 'ala barakatillah..

February 4, 2010 at 7:00 AM  

aiwah,di syria. Hujung bulan 3 balik. Belajar lughoh je,sambil kutip2. Doakan ana. Student melayu ramai sini

February 26, 2010 at 11:37 PM  

oooo baruku tahu perkembanganmu

March 9, 2010 at 7:18 PM